AL-WASILAH DAN KEPENTINGAN USRAH DALAM TARBIYAH
Bila kita menyebut tentang wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’I (sedar) dan waqi’I (realistic).
Kita hendaklah sedar bahawa kita adalah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksima mungkin untuk memanggil dan mengajak dan bukan untuk berebut mahupun memaksa.
Maka dengan demikian dua wasilah yang kita gunakan adalah wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk mnyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah samada dengan lisan, tulisan ataupun dengan qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik).
Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh), apa itu aqidah yang benar yang kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis-majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan lain-lain majlis yang boleh mesej Islam disampaikan.
Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandugnan utamanya adalah Islam dan Iman dan bukannya perkumpulan.
Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) telah boleh menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus pula, konsep ‘amal jama’i adalah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan Islam.
Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu di lalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (perlaksanaan).
Di dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenalpasti boleh menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada ruhnya dan ketenteraan dalam amalannya yang syiarnya adalah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berasa dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja.
Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan keder yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan kita.
Di sini beberapa pengorbanan adalah diperlukan dan ianya akan merupakan sebab kepada peningkatan Iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz sebagai marhalah ketiga pula adalah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani bila mana di dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keihlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Ramai yang boleh berteori dan ramai yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang ramai tadi akan sanggup menanggung berbagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangna yang didatangkan oleh manusia samada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIYAH HARAKIYAH
Proses tarbiyah Islamiyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina si atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan menlahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai system yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atas oleh kebatilan yang kemas.
Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas dan jangan sampai kepada peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah.
Dalam hubungan ini, isi usrah hendaklah jangan dijumudkan hanya kepada pembacaan teks dan hafalan tetapi dipelbagaikan bertepatan dengan cirri tarbiyah kita yang mempertekankan segenap aspek Islam itu sendiri.
Kepelbagaian ini boleh dibuat dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadhah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
Usrah mempunayi beberapa cirri yang membezakannya dari nizam al-tarbiyah yang lain dan di antara cirri-ciri tersebut ialah:
1.Usrah hendaklah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan.
Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
2.Merangkumi keseluruhan ahli samada pengikut, pekerja mahupun pimpinan. Ini adalah untuk memastikan agar tidak ada ahli yang terlepas dari program tarbiyah.
3.Mempunyai perancangan (al-takhtit) yang rapi dalam semua sudut.
4.Kesungguhan semua pihak yang terlibat samada nuqaba’ mahu pun ahli.
5.Di antara ciri-ciri keberkesanan sesuatu usrah itu akan dapat dilihat bila persoalan ini ditanya dan dapat dijawab dengan sempurna mungkin:
a.Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam
b.Sejauh mana pula konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan para ahli dalam membantu proses penghayatan Islam
c.Sejauh mana ikatan dibentuk dan sejauhmana pula pelaksanaannya dalam bentuk amalan.
Akhirnya marilah kita sama-sama memperbahrui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-Jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam danhajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.
No comments:
Post a Comment